lightning-solid
Berita :
Inisiatif Patriotisme Berterusan Kukuhkan Semangat Cinta Negara Dalam Kalangan Rakyat
Inisiatif Patriotisme Berterusan Kukuhkan Semangat Cinta Negara Dalam Kalangan Rakyat
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
09 Nov 25
208


KUALA LUMPUR, 9 November - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta Menteri Komunikasi menjelaskan keberkesanan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Menjawab soalan itu di Dewan Rakyat, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa patriotisme tidak boleh dihadkan kepada tempoh Ogos dan September sahaja, sebaliknya perlu dipupuk secara konsisten sepanjang tahun.

Menurut Fahmi, nilai cinta kepada negara perlu diterapkan secara berterusan dan menyeluruh dalam kehidupan masyarakat bagi memastikan semangat patriotisme kekal segar dan relevan sepanjang masa.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif patriotisme sepanjang tahun yang bersifat inklusif, dekat dengan rakyat serta berfokus kepada pembudayaan nilai kebangsaan.

IMG-20251109-WA0075.jpg 180.03 KB

Antara inisiatif utama termasuk program Info on Wheels (IOW) yang diadakan di semua peringkat daerah bagi menyampaikan mesej berkaitan kebangsaan, perpaduan, integriti dan tanggungjawab bersama. Program ini juga menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Selain itu, Kembara Merdeka Jalur Gemilang turut diperluas secara modular — bukan sekadar konvoi pada bulan Ogos, tetapi melibatkan aktiviti komuniti seperti gotong-royong, pengimarahan kawasan bersejarah serta pengiktirafan ikon setempat yang memberi sumbangan kepada negara.

Kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Belia Malaysia dan Kelab Kepimpinan Kampus bagi memperkukuh pengisian patriotik di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti belia melalui aktiviti ko-kurikulum, dialog, seni dan warisan, serta sukarelawan komuniti.

Di samping itu, pembangunan kandungan digital patriotik turut digiatkan melalui penghasilan video pendek, dokumentari mini, animasi dan kandungan kreatif di pelbagai platform media sosial bagi menarik minat generasi muda terhadap mesej kebangsaan.

Kementerian yakin, pelaksanaan berterusan inisiatif patriotik ini akan memperkukuh rasa bangga dan cinta kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.


Tag :

Artikel Berkaitan