• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Inovasi Daun Neem Untuk Kosmetik, Penyelidik UC TATI Diiktiraf Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Inovasi daun neem atau daun semambu sebagai kosmetik hasil kajian penyelidik dari University College TATI (UC TATI) berjaya memenangi dua anugerah antarabangsa pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021. 

Projek yang diketuai pegawai penyelidik Ts. Dr. Norazlina Hashim telah  memenangi Anugerah Emas Inovasi dan Anugerah Khas Best Innovation in Green Technology dari Japan Intellectual Property Association (JIPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 dan 14 Disember. 

Norazlina berkata, Moisturizing Neem Lotion ialah produk kosmetik berasaskan bahan semulajadi tempatan daun neem atau semambu melalui proses ACE technology.

“Inovasi ini berjaya mengekstrak pati minyak daun neem melalui kaedah mudah dengan kos rendah dan menghasilkan formulasi terbaharu untuk losyen bagi masalah kulit seperti kegatalan dan kekeringan. 

“Bahan semulajadi tempatan seperti neem ini mempunyai ciri dan sifat anti-mikrobial yang sangat berkesan, malah masih terdapat banyak potensi dan kelebihan neem yang boleh dikomersilkan” kata beliau.

Tambahnya lagi, dengan penggunaan bahan-bahan organik seperti pati minyak daun neem, minyak kelapa dan aloe vera dalam penghasilan produk kosmetik menjadikan ia lebih selamat dan memberi kepuasan kepada pemakai.

“ Ia juga dapat membantu usahawan tempatan untuk penghasilan produk seperti produk kecantikan, kebersihan dan kesihatan dari bahan-bahan semulajadi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada produk luar,”ujarnya.