• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Insafi Dan Jangan Persiakan Nikmat Kemerdekaan



KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Erti kemerdekaan yang sebenar membolehkan anak bangsa mengurus dan membangunkan tanah airnya mengikut acuan, citarasa serta menepati keperluan sebenar warganya.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata tanpa kalimah ini, warga negara tidak akan dapat merealisasikan apa yang ada sekarang.

"Tanpa kemerdekaan, kebebasan  memerintah, mengurus serta mentadbir acuan sendiri tidak akan dapat direalisasikan.

"Oleh sebab itu adalah sangat wajar bagi semua warganegara untuk menginsafi tentang tanggungjawab untuk memelihara keamanan yang ada dengan sebaiknya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membaca perutusan sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, di sini hari ini.


Ahmad Samsuri juga berkata sebagai sebuah negeri yang menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan, adalah satu kewajaran untuk menghayatinya dalam konteks yang luas.

"Oleh sebab itu, Islam harus difahami dalam konteks yang lebih luas dan menjadi panduan dalam menyusun kehidupan insan samada  individu mahu pun dalam konteks pengurusan masyarakat dan bernegara," jelasnya.


Seramai 4,165 peserta dari 123 pasukan mewakili  jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, sekolah, kumpulan pancaragam dan badan-badan NGO. menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat negeri kali ini.

Sebelum memulakan perarakan semua peserta berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kira-kira jam 7 pagi.

Acara dimulakan dengan perbarisan dan penyerahan Jalur Gemilang serta nyanyian lagu Negaraku sebelum diteruskan dengan bacaan doa.



Tag: