• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Insiden Paip Putus Di Dungun, Tindakan Pantas SATU Jamin Tiada Gangguan

DUNGUN, 18 Januari - Beberapa kawasan di Dungun iaitu Bandar Paka, Ketengah Jaya, Felda Kerteh 2 dan 3 dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama seminggu, bermula petang tadi.

Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam kenyataan berkata, keadaan itu berlaku berikutan dua paip utama berukuran 700 milimeter (mm) yang menyalurkan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk ke Bandar Paka terputus semasa proses pembaikian struktur sokongan paip berkenaan.

"Dalam kejadian insiden ini, kedua-dua paip utama berukuran 700 mm yang menyalurkan air dari LRA Bukit Bauk ke Bandar Paka telah terputus semasa proses pembaikian struktur
sokongan paip tersebut.

"Pihak SATU telah mengambil langkah segera untuk mengurangkan impak gangguan bekalan dengan menampung keperluan Bandar Paka dengan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi.

"Sementara itu, keperluan ke kawasan Ketengah Jaya dan Felda Kerteh 2 dan 3 akan dibantu dengan bantuan alternatif lori tangki," kata kenyataan itu.

SATU turut memaklumkan
kerja pembaikan paip dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Bantuan alternatif menerusi lori tangki dan tangki statik telah digerakkan ke kawasan yang dijangka terlibat dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal.

Pengguna yang ingin mendapatkan bantuan bekalan boleh menghubungi Careline di 1300-88-2111.