• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

INSTEP Sumbang Bantuan Persekolahan

KUALA NERUS, 15 Mac – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) menyumbangkan  bantuan persekolahan  kepada 2,772 orang murid di lapan buah sekolah rendah di Batu Rakit, sempena Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim, berkata, di antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan, SK Bukit Wan, SK Lembah Bidong, dan SK Merang. 

Katanya, bantuan berbentuk alat tulis, pengimbas suhu, pelitup muka, kit sanitasi dan bahan bacaan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP

“Ia membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab kami dalam dalam menyumbang kepada agenda kelestarian pendidikan bagi kesejahteraan masyarakat.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah di dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2022 serta menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya kepada pemberita.

Tambah beliau, program tersebut merupakan hasil kolaborasi di antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP dengan nilai sumbangan berjumlah lebih RM 14 Ribu.