• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Insya-Allah, Banyak Lagi Anak Syarikat Raih Keuntungan Berganda'

MARANG, 16 Mei – Terengganu meletakkan keyakinan tinggi bahawa banyak lagi anak syarikat kerajaan negeri (GLC) akan mencapai keuntungan bagi tahun 2022.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan banyak sektor beroperasi menjadikan industri ekonomi kembali aktif.

“Laporan kewangan yang dibentangkan bagi tempoh 2021 menunjukkan keuntungan yang melonjak naik terutamanya dalam sektor perladangan kerana harga minyak sawit yang tinggi.

“Kita percaya bagi tahun 2022 pula keuntungan yang mampu dicapai akan bertambah tinggi dengan banyak sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini semalam.

Ahmad Samsuri turut mengulas berkenaan kejayaan hotel-hotel milik kerajaan negeri yang mencapai keuntungan berganda bagi tahun 2021.

“Kita beruntung kerana walaupun industri perhotelan tidak beroperasi kepada umum sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari, kita masih mampu mencari peluang mendapatkan pendapatan. 
 
“Hotel di luar sana sebahagiannya terpaksa dijual kerana tidak mampu menampung kos, namun hotel kerajaan masih mampu bertahan,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut yakin bahawa sektor perhotelan dan kesihatan bakal mendapat sambutan bagi tahun ini. 

Terdahulu, Hotel Permai berjaya mencatatkan keuntungan selepas 12 tahun rugi dan Hotel Paya Bunga milik kerajaan negeri mencatatkan keuntungan berganda bagi tahun 2021.


Tag: