IPD Dungun Rangkul Tempat Kedua Daerah Terbaik OP Selamat

DUNGUN, 6 Februari - Ibu Pejabat Kontinjen Polis Daerah (IPD) Dungun berjaya merangkul tempat kedua Daerah Terbaik dalam pelaksanaan Op Selamat daripada 151 daerah di Malaysia yang bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari 2025 sempena Tahun Baru Cina di seluruh negara. 

Kejayaan itu sekaligus membantu Kontinjen Terengganu merangkul tempat kedua bagi kategori Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Menerusi hantaran di aplikasi Facebook Polis Daerah Dungun menjelaskan Op Selamat diadakan bagi meminimakan kadar kemalangan terutama melibatkan kemalangan maut disamping mengawal kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina.

"Op Selamat kali ini yang diterajui oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Dungun telah menunjukkan kejayaan dengan prestasi yang cemerlang dan mencapai objektif," ujar sumber tersebut. 

Pada Majlis Apresiasi Kontinjen dan  Daerah Terbaik Op Selamat Ke-23 Sempena Tahun Baru Cina 2025 telah diadakan di Dewan Bankuet, Persada Plus, Petaling Jaya Selangor itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Wan Rukman  Wan Hassan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintenden Afandi Hussin  serta Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura  Abdul Kadir telah diberi penghormatan menerima anugerah yang telah disampaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) .

Maizura turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan operasi serta ucapan terima kasih kepada masyarakat Daerah Dungun. 

"Masyarakat Dungun telah bersama-sama PDRM IPD Dungun dalam meraih kejayaan ini serta sentiasa mematuhi undang-undang sekaligus mengharumkan nama PDRM IPD Dungun khususnya dan Daerah Dungun secara amnya," ujarnya.


Tag: