• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

IPU Di Tiga Kawasan Terengganu Lepasi Tahap Biru

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Tiga kawasan di Terengganu telah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 50 berdasarkan maklumat dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 9 pagi tadi.

Menurut laman sesawangnya, Kuala Terengganu mencatatkan kadar IPU 59 diikuti Kemaman 58 dan Paka 52.

“Bacaan IPU adalah ditentukan oleh kepekatan habuk halus yang merupakan pencemar dominan pada kebanyakan masa terutamanya semasa berlakunya jerebu di Malaysia.

“Kadar 51 sehingga 100 atau ditanda dengan warna hijau ialah IPU tahap pencemaran sederhana, yang tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan.

“Namun begitu, orang yang sensitif dinasihatkan supaya mengurangkan waktu pendedahan di luar rumah, selain memberi kesan kesihatan umum yang mungkin membimbangkan paras sederhana bagi sebilangan individu sekiranya alah kepada pencemaran udara akibat sesetengah bahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Sumber : Laman sesawang JAS

Bagaimanapun, satu kawasan di dalam negeri iaitu Besut masih dianggap IPU baik atau berwarna biru dengan bacaan 46 iaitu tahap bawah 50.

“Tahap ini merujuk kepada pencemaran yang rendah tanpa sebarang kesan buruk terhadap kesihatan. Tiada sekatan untuk aktiviti luar kepada orang ramai dan terus kekalkan gaya hidup sihat,” katanya lagi.

Antara faktor berlakunya peningkatan kadar IPU seperti aktiviti ekonomi, pelepasan asap perkilangan, ekzos kenderaan dan sebagainya.