• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

IQ-ONE Terbit Album Kedua Tahun Depan



 
Enam anggota IQ-ONE bersedia membuat persembahan secara langsung.
Bermula dari kumpulan nasyid sekolah, IQ-ONE satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan Islam khususnya di bumi Terengganu Darul Iman.

Ketua kumpulan nasyid kontemporari itu, Ahmad Solahuddin Al-Ayyubi Ahmad, 30 berkata, IQ-One yang nama asalnya Ikhwan banyak menimba pengalaman mengalunkan lagu-lagu nasyid ketika anggota kumpulan itu belajar di Sekolah Menangah Agama (SMA) Marang tahun 2005.
IQ-ONE bersama Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (duduk kiri) selepas membuat persembahan di Marang baru-baru ini.

Menceritakan sejarah kejayaan kumpulan itu beliau yang juga dikenali dengan Solah IQ-ONE berkata hasil bimbingan beliau sendiri, kumpulan nasyid itu telah menempa nama antara kumpulan nasyid yang banyak memenangi pertandingan akhir di peringkat SMA negeri Terengganu.

Katanya kumpulan itu menjadi johan empat tahun berturut-turut dalam Pertandingan tersebut mulai tahun 2005 hingga 2008 yang diadakan masing-masing di SMA Marang (2005), di Kolej Islam dan Sains (KIST) Kuala Berang, Hulu Terengganu (2006), di SMA Mahmudiah Kuala Berang, Hulu Terengganu (2007) dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) Kuala Terengganu (2008).
 
Ketika itu mereka terdiri dari lapan orang pelajar SMA tersebut diketuai oleh beliau sendiri dan dianggotai oleh Zulfahmi Suhaimi, Mohd Syafiq Abdullah, Wan Mohd Faiq Ibtisam Wan Ali, Abdul Muiz Husin, Zul Aiman, Mohd Izzuddin dan Mohd Ridha Faisal.
IQ-ONE membuat persembahan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di DUN Bukit Payung Marang baru-baru ini, dari kiri Zulfahmi, Zulhalmy, Muhammad Aslam, Solah dan Ahmad Syahir.

Katanya, pada tahun 2009 kumpulan itu mula keluar dari alam persekolahan sekali gus lebih aktif membuat persembahan dalam acara yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dengan mengalunkan kira-kira lima buah lagu nasyid termasuk ciptaan kumpulan itu sendiri.

Dalam satu perjumpaan dengan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kuala Terengganu semalam, Solah berkata, kumpulan nasyid itu pernah membuat persembahan di Ijtima' dan Hari Guru PASTI Seluruh Malaysia di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu dan di Program Amal Palestin di sebuah pasaraya milik anak Terengganu, SABASUN 1 di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu dan Himpunan Perdana Orang Mude Geng Kita di Kuala Nerus, di sekitar tahun 2010.
IQ-ONE bersama Ustaz Mohd Nor Hamzah (tengah) selepas persembahan di Bukit Payung Marang baru-baru ini.

Bagi memperkenalkan kumpulan itu di kalangan masyarakat desa  IQ-ONE telah menganjurkan sendiri majlis Maal Hijrah di Dewan Tok Guru Rusila Marang dengan persembahan menghibur dan mendidik jiwa.

Katanya, persembahan terbaru kumpulan nasyid itu ialah di Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Kuala Nerus di sebuah hotel di daerah itu baru-baru ini.
Muhammad Aslam (kiri) dan Zulhalmy membuat persembahan.

Dalam pada itu Solah memberitahu pada tahun tersebut secara rasmi nama kumpulan itu bertukar kapada nama baru iaitu IQ-ONE yang setiap hurufnya memberi maksud tersendiri.

"'I' bermaksud Islam, 'Q' (Al-Quran), 'O' bermaksud, 'One' (Satu), 'N' bermaksud 'Nation' (bangsa) dan 'E' bermaksud 'Excellence' (Cemerlang).

"Ertinya kumpulan nasyid kami bermotifkan untuk menegakkan Islam dan Quran sebagai asas hiburan bagi mewujudkan bangsa atau kumpulan yang cemerlang dari semasa ke semasa," jelasnya.
 
Zulfahmi.
Bermula dari perubahan nama dan cita-cita untuk lebih serius menyertai industri nasyid, IQ-ONE mula merakam album sulung berjudul Jangan Lupa Tuhan mengandungi lima buah lagu dengan kos RM17 ribu.

Katanya, rakaman dibuat di studio sebuah syarikat rakaman popular di Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira empat hari.

Album itu mendapat sentuhan muzik dari Ustaz Zulkarnain Mohd Nor atau Zul Kumpulan Visa dan dengan penampilan khas Abdul Alim Zakaria, anggota kumpulan Shoutul Amal.

Lagu-lagu berkenaan termasuk Kau Idola (lagu dan lirik oleh Zul Kumpulan Visa), Akhlak Mulia, Jangan Lupa Tuhan, Kilauan Memori dan Cinta (lagu dan lirik ciptaan IQ-ONE).

Kumpulan itu kini dianggotai enam orang penasyid terdiri dari Solah sebagai ketua kumpulan dan lima anggota lain termasuk Zulfahmi Suhaimi, 28, Abdul Muiz Husin, 27, Zulhalmy Zulkifli, 26, Muhammad Aslam Wira, 27, dan Ahmad Syahir Yahaya, 26.

Persembahan dan maklumat mereka boleh diakses melalui laman youtube.com dengan menaip IQ-ONE Official, di Instagram (iqoneofficial) dan Facebook (IQ-ONE).
 
Abdul Muiz.
Solah berkata IQ-ONE merancang untuk menerbit album kedua dengan 10 buah lagu termasuk enam lagu baru dan empat lagu lama yang muziknya diperbaharui.

"IQ-ONE akan membuat latihan intensif tidak lama lagi bagi menjayakan album tersebut sempena 10 tahun kami di persada seni nasyid," jelas beliau.

Katanya, IQ-ONE bersedia pada bila-bila masa menunaikan permintaan membuat persembahan secara langsung untuk majlis keraian korporat atau mana-mana entiti berminat.

Mereka boleh menghubungi talian telefon atau Whatsapp 010-9168830 (Zulhalmy) untuk keterangan lanjut.


Tag: