• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Isteri MB Gemar Bertanam Sayur

Tuan Faizah sedang memetik sawi.
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Aktiviti isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman tidak terhenti sekadar menjadi pengiring suami ke majlis keraian dan bergaul dengan semua lapisan masyarakat tetapi di masa lapang beliau turut berbudi kepada tanah.

Ketika ada masa terluang beliau kelihatan melaksanakan hobinya menanam sayur sawi untuk digunakan sebagai bahan masakan kegemaran keluarga ketua kerajaan negeri itu.

Bercucuk tanam dengan menanam sayur-sayuran di tanah lapang di halaman rumah adalah satu aktiviti bermanfaat yang mendatangkan hasil dan sekurang-kurangnya untuk mengurangkan perbelanjaan bahan dapur keluarga.
Tuan Faizah kelihatan gembira dengan hasil usahanya berbudi kepada tanah.
Hobi bercucuk tanam itu boleh menjadi aktiviti yang baik bukan sahaja untuk bahan masakan tetapi juga untuk merehatkan minda dan menggerakkan urat saraf sekali gus merupakan amalan kesihatan yang tidak lekang dek zaman.

Difahamkan, kurangnya aktiviti pergerakan badan, menimbulkan banyak masalah kepada kesihatan tubuh badan manusia.

Kebiasaannya Tuan Faizah bersama suami sering kelihatan 'bergateh' (mengayuh basikal) beberapa kilometer dari rumah beliau di waktu ada kelapangan khususnya di waktu pagi.

Ini menggambarkan kepimpinan negeri Terengganu amat menggalakkan orang ramai menyertai sebarang aktiviti sihat untuk kebaikan dan kesihatan mereka.

Ustaz Wan Sukairi (dua dari kanan) bermesra dengan orang ramai ketika menemui mereka di Bukit Besar Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah turut melaksanakan aktiviti 'jogging' di Bukit Besar di sini hari ini.

Di samping itu, beliau sempat berbual mesra dengan orang ramai yang turut serta melaksanakan aktiviti sihat itu.

Ustaz Wan Sukairi berkesempatan beriadah selama setengah jam mulai pukul 7.30 pagi tadi.


Tag: