lightning-solid
Berita :
Isu Beras Putih Tempatan Terus Hantui Rakyat
Isu Beras Putih Tempatan Terus Hantui Rakyat
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
13 Nov 25
220

KUALA LUMPUR, 13 November — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menzahirkan kebimbangan terhadap isu berulang melibatkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran yang dilihat seolah-olah menjadi fenomena bermusim dan menjejaskan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa isu beras putih tempatan sering menghantui pengguna dan hanya menunjukkan pemulihan sementara menjelang musim pilihan raya atau kempen jualan rahmah.

“Media seperti Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dakwaan bahawa segelintir pihak menguasai sehingga 70 peratus pasaran beras negara melalui jaringan pengedaran berpaksikan monopoli dan kartel. 

"Namun, Kementerian Pertanian dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan kewujudan kegiatan itu,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau seterusnya memohon penjelasan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai punca sebenar masalah ini serta langkah konkrit kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan kekal stabil untuk rakyat.

Wan Hassan turut menegaskan, persoalan utama tetap tidak terjawab, iaitu mengapa ketidakstabilan bekalan beras terus berulang saban tahun dan mengapa pasaran beras seolah-olah beroperasi dalam ruang yang tertutup.

Beliau berkata, isu makanan dan keterjaminan bekalan merupakan perkara asas dalam kelangsungan hidup manusia sebagaimana disebut dalam Al-Quran bahawa manusia diciptakan dalam keadaan lemah dan bergantung kepada makanan serta minuman untuk kelangsungan hidup.

“Allah menyebut dalam Surah an-Nisa’ ayat 28, 'manusia dijadikan dalam keadaan lemah. Kelemahan itu termasuk keperluan kepada makanan dan minuman, sebab itu industri pertanian dan keterjaminan makanan sangat penting untuk 'survival' rakyat dalam negara," ujarnya.





Tag :

Artikel Berkaitan