• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Isu Harga Getah; Menteri PH Tidak Faham, Keliru

Dr Azman Ibrahim ditemui selepas merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Permata Keluarga 2018 di Dewan MDS Sungai Tarom.
SETIU, 7 November - Pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan tentang harga getah dan kenyataan Menteri Industri Utama tentang harga siling getah menonjolkan ketidakfahaman dan kekeliruan mereka tentang isu tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menyeru kedua-dua menteri itu supaya memahami fungsi serta tugas masing-masing.

“Menteri Kewangan mengumumkan ketika pembentangan bajet bahawa Insentif Pengeluaran Getah  hanya akan diterima oleh penoreh dan pekebun kecil sekiranya harga getah skrap jatuh di bawah RM2.20 sekilogram.

“Saya nampak Menteri agak keliru untuk membezakan antara susu getah, getah skrap dan getah SMR (Standard Malaysian Rubber).


“Sebab itu, saya sangat mengesyorkan supaya cepat-cepat adaptasi diri dalam bidang yang dipertanggungjawabkan, sekurang-kurangnya memahami jerit-perih para penoreh getah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa dengan harga getah skrap RM2.20 sebagaimana sekarang, penoreh hanya mampu membeli beras secara timbang kilo samada setengah kilo atau sekilogram sahaja sekali beli.

"Tak mampu nak beli sekampit 5kg atau 10kg. Apakah menteri dah berpuas hati dengan kadar harga getah RM2.20?

“Kita nak harga lantai pada kadar yang munasabah mengikut pandangan masyarakat penoreh sekitar RM4 sekilogram dan sekiranya diletakkan pada harga tersebut kerajaan tidak perlu lagi memberi apa-apa insentif tambahan” jelasnya.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Permata Keluarga 2018 di Dewan MDS Sungai Tarom, hari ini.

Sebaliknya kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Industri Utama pada Selasa (6 November 2018) menunjukkan peningkatan harga kepada RM4 sekilogram akan menyebabkan pertambahan kos yang tinggi kepada kerajaan bahkan meningkatkan penyeludupan produk tersebut kerana harga yang tinggi di pasaran.

Justeru, beliau berkata, kenyataan Menteri Industri Utama yang mendakwa tidak perlu harga lantai menunjukkan  menteri yang berasal daripada ibu kota itu tidak faham tentang kehidupan seorang penoreh.

“Beliau seolah-olah mendakwa harga semasa getah RM2.20 adalah harga yang tinggi memadai.

Oleh yang demikian, Dr Azman menegaskan bahawa bagi meningkatkan taraf hidup seramai 450,568 orang pekebun getah, harga lantai adalah sangat perlu.


Tag: