• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Isu Pembalakan Di Sungai Lutong Terjawab

Haji Ghazali Sulaiman berbincang tentang penyelesaian isu pembalakan Sungai Lutong.
Oleh: Adli Mohamad

Kebimbangan penduduk Kampung Tepus dengan aktiviti pembalakan di Sungai Lutong akhirnya terjawab.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penduduk tidak menghalang aktiviti pembalakan itu namun jangan menjejaskan kawasan tadahan air hujan setempat.

"Empangan yang membekalkan air bukit pernah terjejas dan rosak teruk pada tahun 2014 akibat aktiviti pembalakan sehinggakan bekalan air bukit tidak dapat dinikmati oleh penduduk setempat," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas lawatan ke Kampung Tepus, semalam untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak terbabit.

Turut hadir, Penolong Pegawai Renjer Hutan, Abd Hadi Mohamad, Pegawai Perhutanan Jerangau, Mohd Bin Salleh, serta wakil daripada Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan, Osmadi Othman.

Sementara itu, Kumpulan Perkayuan Kayu Kayan Sdn Bhd yang  merupakan anak syarikat Negeri Terengganu iaitu 'Government Link Company' bersama Jabatan Pentadbiran Hutan Jerangau, Terengganu Barat telah bertemu dengan penduduk setempat bagi membincangkan perkara tersebut.

Pengurus Kanan Kumpulan Kayu-Kayan, Zulkifli Mohd Sanusi memberitahu bahawa aduan yang diterima itu menyebabkan kumpulannya bertindak segera untuk turun menjelaskan perkara sebenar.

"Sebenarnya aktiviti pembalakan masih tidak berjalan malah lesen juga masih tidak dikeluarkan.

"Kita akan pastikan had aktiviti pembalakan nanti tidak akan memberi kesan kepada empangan yang telah dibuat oleh penduduk kampung bagi mendapatkan bekalan air bersih," ujarnya.

Beliau berjanji bahawa kawasan yang akan berlaku aktiviti pembalakan itu nanti tidak akan dibiarkan begitu sahaja tetapi akan ditanam pokok-pokok hutan.

"Kita berhasrat untuk menjadikannya ladang hutan, pokok hutan ini cepat membesar dalam jangka masa 7 tahun, peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk setempat apabila ladang hutan itu dapat dijayakan," ujarnya.p

Beliau turut memaklumkan bahawa, sebelum melakukan aktiviti pembalakan tersebut, akan diadakan dahulu sesi konsultansi dengan penduduk setempat, bagi memastikan aktiviti pembalakan itu nanti jauh dari empangan yang didirikan oleh penduduk kampung.

Tag: