• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Isu Roboh Rumah Di Kampung Tanjung Sah Undang-Undang - MB

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ditemui media hari ini.
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri berharap isu merobohkan sebuah rumah di Kampung Tanjung Kelab Pantai oleh pihak berkuasa hari ini untuk tujuan projek pembangunan tidak diperbesar atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan itu tidak salah dari aspek perundangan kerana pemiliknya telah lama diberikan notis untuk mengosongkan rumah berkenaan.

“Sebenarnya sudah ada perundingan tentang rumah berkenaan dan cara bagaimana diuruskan pengambilan tanah di kawasan itu, malah pemilik yang mendakwa tanah beliau itu juga telah diberi peluang untuk mengemukakan bukti-bukti pemilikan dan sebagainya.

“Perkara ini telah diuruskan dan kita dapati tiada halangan untuk kerajaan ambil tindakan hari ini untuk kosongkan tanah malahan nilai pampasan pun telah diberi mengikut pertimbangan dan status pemilikan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kekecohan yang berlaku apabila rumah pusaka yang dibina pada awal 1900 itu, milik Wan Mokhtar Wan Yusof, 64, di Kampung Tanjung Kelab Pantai dirobohkan pihak berkuasa untuk projek pembangunan.

Menurut beliau, dakwaan Wan Mokhtar bahawa kerajaan negeri hanya memberi notis selama tiga hari untuk mengosongkan rumah tersebut adalah tidak benar.

“Dakwaan tuan tanah itu tidak tepat. Dari aspek perundangan, apa yang dilakukan kerajaan negeri itu tidak salah. Isu yang disebut sebagai pampasan dan sebagainya itu adalah ehsan yang diberi mengambil kira mereka menduduki tempat itu sebelum ini.

“Tetapi dari aspek perundangan yang telah dibuat, sebenarnya tidak ada hujah yang kuat dari orang yang mendakwa itu tanah miliknya dan kita minta supaya proses (merobohkan) dapat diteruskan.

“Ia sebenarnya bukan masalah tiga hari notis kerana prosesnya telah berjalan begitu lama dan sudah dalam makluman mereka yang berkenaan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai nilai estetika rumah itu yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak, Dr Ahmad Samsuri berkata, ianya lebih kepada pandangan peribadi masing-masing.

“Kecualilah rumah itu ada unsur-unsur sejarahnya yang sangat unik. Kita akan membuat pertimbangan. Oleh kerana tidak ada unsur-unsur yang unik, bukan rumah berusia ratusan tahun dan sebagainya, saya rasa tidak menjadi halangan untuk kita mengambil langkah tersebut.

“Memang susah untuk kita buat semua pihak berpuas hati, tetapi mengambil kira rumah itu tidak didiami oleh sesiapa pun, bukan kita menghalau orang yang sedang menduduki rumah itu dan sudah berapa lama sebenarnya tidak ada penghuni, tindakan merobohkan untuk tujuan pembangunan di kawasan itu bukanlah satu tindakan untuk menganiayai mana-mana pihak,” ujarnya.

Tag: