• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat

KUALA NERUS, 19 Mac - Orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab dengan menyalurkan aduan di saluran yang tepat  jika berlaku penipuan jualan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata rentetan daripada peningkatan kos sara hidup, sebagai pengguna perlu tahu memainkan peranan untuk membuat aduan dan tahu untuk membuat tuntutan.

Katanya, terdapat sembilan saluran yang boleh mereka kemukakan salah satunya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang maupun berkaitan dengan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan yang diberikan mempunyai maklumat yang lengkap dengan nama premis yang dinyatakan. 

“Sebarang maklumat pengadu adalah sulit… oleh itu, jangan teragak-teragak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan samada dengan meletakkan harga yang tidak munasabah, menyorok bekalan dan membuat penyelewengan barang-barang subsidi,”ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam.

Sementara itu, satu kajian indeks pemerkasaan pengguna Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama KPDN pada tahun 2020, Terengganu mencapai 68.80 peratus lebih tinggi berbanding dengan indeks nasional iaitu 63.10 peratus.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna negeri Terengganu adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan peringkat kebangsaan,”katanya.