• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Jadikan Al-Quran Sebagai Teman


Oleh: Afiq M. Zaid

BESUT, 27 Februari- Al-Quran merupakan panduan hidup bagi setiap individu muslim
agar sentiasa berada di atas landasanNya.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, al-Quran perlu dijadikan sebagai teman sejati dalam kehidupan seharian.

"Kita menjadikan al-Quran sebagai teman kita dan mengamalkan isi-isinya dalam kehidupan seharian. Dengan celiknya al-Quran akan jadi pemudah urusan kita di dunia dan akhirat,”ujarnya ketika merasmikan Seminar Seronoknya Mengaji anjuran Pusat Khidmat DUN Kota Putera di Institut Latihan Islam Pantai Timur (ILTIM), kelmarin.

Turut hadir, Pengarah, Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILTIM), Norawi Endut.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, penganjuran seminar tersebut sebagai persediaan menghadapi Ramadan tidak lama lagi.

"Seminar ini dianjurkan khususnya untuk menghadapi bulan Ramadan, dari pemerhatian saya, orang ramai suka mengisi masa dalam bulan Ramadan (dengan pengisian) tapi peluang dan kesempatan masa itu tiada.

"Biar al-Quran ada dalam hati masyarakat kita, supaya kita jadi molek. Bila al-Quran sebati dalam diri, insyaAllah, kita berada dalam perlindungan Allah,” ujarnya.

Seramai 200 orang menyertai seminar anjuran Pusat Khidmat DUN Kota Putera itu.


Tag: