• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat

HULU TERENGGANU, 10 November - Fungsi masjid atau surau sebagai institusi menimba ilmu agama perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.

Beliau berkata, selain bersolat, masjid dan surau memainkan peranan mustahak sebagai tempat bagi masyarakat Islam berkumpul dan menganjurkan aktiviti selain yang menjurus kepada aspek keagamaan.

 


“Tidak salah jika ahli jawatankuasa masjid menganjurkan aktiviti (sukan) seperti pertandingan sepak takraw, badminton dan sebagainya di pekarangan masjid.Jadi, ahli jawatankuasa masjid harus menetapkan di mana untuk membina gelanggang permainan untuk golongan tersebut.

“Program-progam tuisyen juga boleh dianjurkan selain pertandingan nasyid, tilawah al-Quran, zikir dan sebagainya yang mampu membentuk golongan belia,” katanya.

“Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam," katanya ketika ditemubual selepas Program Sambutan Maulidur Rasul di Masjid, Kampung Gunong, semalam.

Dalam pada itu, Maliaman turut menyeru semua ahli masjid dan surau di negeri ini agar lebih aktif menganjurkan aktiviti keagamaan yang dapat menarik pembabitan golongan belia.

“Saya menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini agar memahami kehendak golongan berkenaan (belia) agar tugas untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan lebih mudah.

“Aktiviti mengimarahkan atau menyemarakkan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada penglibatan warga emas sebaliknya menuntut kehadiran generasi muda dan wanita,” ujarnya.