• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Jaga Etika Kerja Penyumbang Maju, Berkat Dan Sejahtera

Membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera perlukan keredaan Allah SWT - Ghazali.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 5 Mac - Kakitangan kerajaan negeri dinasihatkan menjaga etika kerja untuk memperoleh keberkatan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Nasihat tersebut dilontarkan terutama kepada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang rata-ratanya terdiri daripada kakitangan baharu.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, antara elemen yang perlu diambil berat adalah menepati masa yang melambangkan sikap jujur, amanah dan menjadi aset kepada sesebuah organisasi kerajaan di setiap peringkat.

"Setelah 10 bulan kita dilantik mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing, sudah masanya untuk kita buktikan bahawa kepercayaan tersebut dibalas dengan memberi prestasi terbaik dalam perkhidmatan.

"Usaha kita menjaga keberkatan dalam pekerjaan juga bakal mengundang keredaan Allah SWT dalam segala urusan seharian serta membenihkan kehidupan tenteram dengan hasil kerja yang berkat,” katanya ketika ditemui pemberita, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kakitangan perlu bekerja lebih serius serta meningkatkan mutu kecekapan dan kemahiran bekerja selain menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan sekerja kerana ia adalah amanah yang dipikul bersama.

"Walaupun kelihatan kecil, tetapi di bahu kitalah sebenarnya terletak tanggungjawab memastikan Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera dapat dicapai.

“Jadikan pekerjaan satu ibadah, maka kita akan lebih hati-hati serta memberi lebih penumpuan terhadap pekerjaan yang dilakukan.

"Insya-Allah kita semua mampu menjadi penyumbang kepada negeri ini untuk lebih maju serta dilimpahi keberkatan dan kesejahteraan," katanya.


Tag: