• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jaga Kebersihan Masjid, Elak Diperlekeh Pelancong

KUALA TERENGGANU, 9 November - Jawatankuasa masjid di negeri ini diingatkan agar mempertingkatkan tahap kebersihan rumah ibadat terutama tandas agar tidak diperlekehkan oleh pelancong luar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan  Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, langkah itu penting kerana ketika ini Terengganu menjadi tumpuan sebaik Kerajaan Pusat memberi kebenaran rentas negeri dan pastinya masjid antara lokasi wajib singgah.

“Oleh itu, tahap kebersihan masjid perlulah berada di tahap maksimum agar masjid di Terengganu menjadi bualan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Seminar Memperkasakan Pengurusan Masjid Terengganu Hotel Paya Bunga Terengganu di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri ada memperuntukkan sebanyak RM400 sebulan bagi setiap masjid yang terletak di laluan utama jalan raya, semata-mata mahu menjaga nama baik rumah ibadat.

“Oleh itu, gunakanlah sebaik mungkin peruntukan itu dan sewajarnya menggunakan duit tabung untuk perhiasan dan  menambahkan kelengkapan lain.

“Sekiranya ada sikap tanggungjawab antara jawatankuasa dan masyarakat tentang pentingkan kebersihan, pastinya isu tandas masjid kotor tidak akan timbul,” katanya.

Ridzuan turut memberitahu, pihak berkaitan perlu bijak memikirkan kaedah terbaik untuk menarik minat masyarakat Islam terutama golongan muda untuk ke masjid, anjurkan pelbagai aktiviti bagi tujuan itu.

“Antara programnya rakan masjid yang digerakkan oleh penduduk setempat, gerobok rezeki dan khairat kematian.

“Biar orang ramai menganggapkan masjid bukan semata-mata datang untuk solat sebaliknya boleh sertai aktiviti berfaedah lain,” katanya.
 

 


Tag: