• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jajaran Paip RM54 Juta Selesai Masalah Air Di Marang

KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi menyelesaikan masalah air di Marang dengan pemasangan paip sepanjang 24 kilometer (km) dengan kos bernilai RM54 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata,  jajaran paip tersebut bakal menyalurkan air terawat dari Sungai Rengas ke tangki Gondang, Marang .

“Kita mengambil air ini dari loji Kepong 2 di Serada dan kita hanya memasang paip daripada Sungai Rengas ke tangki MIEL di Marang.

“Ada satu lagi sambungan projek iaitu daripada tangki air MIEL ke Gondang, jadi penglibatan semuanya ialah 24 km.

”Projek ini insya-Allah akan siap kerja-kerjanya selama enam bulan, jadi penduduk di daerah Marang akan menerima manfaatnya pada tahun baru nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Cadangan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu di Gelugor Kedai, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Ts Abdul Karim Endut.

Dr Mamad turut berkata, pemasangan paip jenis ‘Mild Steel’ bersaiz  700 dan 900 milimiter (mm) akan dilakukan Konsortium KJAV Sdn Bhd sebagai kontraktor utama.

Projek tersebut bakal melengkapkan Projek Bekalan Air Terengganu Utara terutama di daerah Marang melibatkan 88,000 orang pengguna.