• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JAKIM Siasat Dakwaan Sotong Ring Daripada Usus Babi

KEMAMAN, 9 Mac - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mendapatkan maklumat lengkap daripada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai sotong ring didakwa sebagai dubur atau usus babi yang dijual di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu akan diperhalusi JAKIM daripada segi halal sebaik menerima laporan berkenaan.

“Setakat hari ini, KPDNHEP masih siasat berkenaan dengan isu sotong babi ini.

“Berkenaan dengan status halal atau haram itu, JAKIM yang akan tentukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Tabung Musaadah Banjir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Kampung Seberang Tayor Hulu, di sini, semalam.

Katanya, dalam hal penguatkuasaan ianya terletak di bidang kuasa KPDNHEP dan JAKIM hanya untuk perhalusi betul atau tidak produk dikeluarkan berdasarkan halal atau sebaliknya.

"Insya-Allah, kita akan dapatkan maklumat daripada KPDNHEP dalam masa terdekat,” katanya.

Idris berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan soal halal haram.

Beberapa hari lalu, tular di Facebook mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.

Melalui hantaran di Facebook, netizen turut meninggalkan komen meragui cop tanda halal yang dicetak di label pembungkusan.