• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir Ditutup Sementara

Oleh : Noraini Jusoh/Ariffudin Alias

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Jalan Pesisir Pantai Seberang Takir dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat ditutup sementara kepada semua kenderaan bermula hari ini (Jumaat) hingga Ahad.

Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan selama tiga hari sebahagian laluan berkenaan adalah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya lantaran berlaku limpahan ombak serta sampah sarap di lokasi terbabit.

"Kerja-kerja pembersihan jalan akan segera dilaksanakan, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil jalan alternatif melalui laluan Jalan Seberang Takir.

"Papan tanda amaran dan pemberitahuan telah dipasang ditapak dan disertakan juga lampiran peta jalan alternatif untuk panduan kepada pengguna jalan raya," ujar kenyataan itu.

Katanya, semua pengguna jalan raya diharap mematuhi papan tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

"Kerjasama sepenuhnya dari semua pengguna jalan raya amatlah dihargai, " katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika melakukan tinjauan pagi tadi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kuala Nerus bagi memastikan keadaan di situ terkawal.

"Tinjauan dari semasa ke semasa akan sentiasa dilakukan agar keselamatan orang ramai terjamin.

"Kerja-kerja pembersihan ini akan dipastikan berjalan sebagaimana dirancang," tambah beliau.