• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jalin Hubungan Akrab Demi Kebaikan Bersama

DUNGUN, 26 Oktober- Kakitangan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Dungun disaran menjalin hubungan akrab dengan agensi kerajaan di daerah tersebut khususnya bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat sahih mengenai sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada umum.

Ketua Koordinatornya, Abd. Hamid Ismail berkata, pegawai media terutamanya perlu bijak menggunakan kepakaran dan keupayaan pihak kerajaan bagi memastikan maklumat disampaikan secara lebih berkesan.

Menurut beliau, disebabkan faktor tersebut pihaknya mengambil pendekatan untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan menerusi kunjungan hormat yang sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.  

"Sebagai contoh, kami telah membuat pertemuan dengan Jabatan Penerangan Daerah Dungun yang bersedia untuk berkolaborasi dengan pihak kita di dalam menganjurkan program - program yang akan diadakan di daerah ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Pegawai Media Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Dungun di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Dungun, di sini baru-baru ini.

Majlis itu juga turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang telah menyampaikan pesanan dan harapan beliau agar pegawai - pegawai media yang terlibat meningkatkan lagi mutu tugasan mereka. 

Menurut Abd. Hamid, UPDI Daerah Dungun yang mula beroperasi pada 1 September lalu adalah salah satu agensi yang diwujudkan di setiap daerah di Negeri Terengganu bertujuan untuk memperkasakan lagi sebaran maklumat kepada rakyat. 

"Kita akan mengadakan pelbagai aktiviti penerangan agar setiap dasar kerajaan negeri demi kebaikan rakyat sampai kepada setiap lapisan masyarakat," katanya.


Tag: