• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jalinan Belia-Veteran Terengganu Cipta Keharmonian


MARANG, 19 Januari - Kerjasama dan gabung jalin hubungan antara belia dan 'orang lama' akan mewujudkan suasana harmoni dan kesepakatan dalam sesebuah kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengingatkan, penglibatan kedua pihak mampu menjadi contoh terbaik dalam pembangunan anak muda.

"Ia akan menjadi satu contoh yang baik kepada belia daerah ini untuk melihat pembangunan dan usahasama sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis dialog sempena Program Jelajah Belia Terengganu Sejahtera Peringkat Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.


Program tersebut bermula sejak awal pagi lagi dengan konvoi bermotosikal ke kampung-kampung berhampiran untuk melihat pembangunan dan aktiviti belia di kawasan tersebut.

Wan Sukairi juga menyeru belia Marang agar mengambil peluang memanfaatkan bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada belia.

"Mana-mana belia yang berminat dalam apa juga bidang, kerajaan boleh bantu menyediakan kemudahan daripada sudut pengetahuan, kemudahan modal dan sebagainya.

"Apa yang kita mahu, belia Terengganu menjadi belia dan beliawanis yang mampu mencipta sejarah tersendiri untuk diri mereka sendiri dan dalam masa yang sama membawa kebaikan kepada agama, bangsa, negeri dan negara," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Negeri, Amirullah Othman turut menyambut sokongan yang disampaikan kerajaan negeri.

"Terima kasih atas sokongan daripada kerajaan dan Pegawai Daerah kepada belia daerah ini.

"Saya percaya belia Marang akan terus berdaya saing dan menjadi pelapis terbaik kepimpinan akan datang," katanya.

Program yang berakhir sekitar jam enam petang itu turut dihadiri Pegawai Daerah Marang yang baharu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd Saufi Mohd Ibrahim.




Tag: