lightning-solid
Berita :
Jalur Gemilang Terbalik Isu Maruah Negara, Bukan Perkara Remeh
Jalur Gemilang Terbalik Isu Maruah Negara, Bukan Perkara Remeh
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
26 Aug 25
181

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik baru-baru ini menjadi tumpuan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tindakan yang memalukan negara dan tidak boleh dipandang remeh.

“Ini bukan soal politik, ini soal maruah negara. Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan, kesucian dan semangat federalisme yang menyatukan seluruh negeri di bawah satu payung,” tegasnya. 

Beliau turut menyamakan kedudukan Jalur Gemilang dengan panji-panji tentera yang tidak boleh sama sekali dijatuhkan atau diterbalikkan, sambil merujuk kepada tugu peringatan negara di ibu kota yang menjulang bendera Malaysia sebagai simbol tertinggi perjuangan dan pengorbanan.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya memperketatkan undang-undang dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan simbol negara, tanpa sekadar bergantung kepada permohonan maaf semata-mata.

“Apatah lagi di bulan Hari Kebangsaan ini, kesalahan sebegini tidak boleh disapu di bawah permaidani. 

“Ia mesti diambil tindakan tegas agar maruah negara terus terpelihara,” katanya dengan tegas.


Tag :

Artikel Berkaitan