• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jambatan Baru Kuala Por Beroperasi, Beri Impak Ekonomi

HULU TERENGGANU, 13 September - Penduduk Kampung (Kg) Kuala Por ke Pasir Nering dan Kg Dusun kini menarik nafas lega apabila jambatan baru yang menghubungkan antara kampung tersebut kini telah siap dan beroperasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal dengan penjimatan kos walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Berkat kesabaran penduduk atas ujian yang diterima tahun lalu, jambatan baru telah dibina dan ia lebih baik dari yang jalan asal malah mampu menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat.

"Jambatan tersebut menelan belanja RM5.3 juta dibina sejauh 40 meter dan selebar 11 meter siap dua bulan lebih awal dari tarikh jangkaan asal dengan komitmen Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Ketinggiannya dari aras sungai ialah tujuh meter ketika air pasang dan mampu mengatasi banjir besar," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Perasmian Jambatan Kuala Por-Pasir Nering, di sini hari ini.

Salah seorang penduduk, Siti Hajar Kassim, 36, menyuarakan rasa terujanya kerana setelah berbulan-bulan merasai kesusahan untuk berulang alik ke Bandar Kuala Berang akhirnya berakhir.

"Saya mempunyai warung makanan dan untuk mendapatkan bekalan mentah, saya terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke pekan berbanding hanya 10 minit sahaja jika menggunakan laluan yang terputus ini.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menyelesaikan masalah yang membebankan orang kampung selama ini,"katanya.

Terdahulu, akibat banjir besar yang melanda Hulu Terengganu pada awal tahun 2022, jalan tersebut runtuh  berpunca daripada 'culvert' yang roboh menyebabkan laluan dari Kuala Por ke Pasir Nering dan Kampung Dusun terjejas teruk sehingga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.