• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jamin Patuh SOP, Bazar Tok Adis Dibenar Beroperasi Esok

KUALA TERENGGANU, 18 April – Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai di sini dibenar kembali beroperasi esok selepas ditutup sementara bermula 16 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengumuman itu diharap memberi kelegaan kepada peniaga-peniaga di bazar berkenaan setelah dua hari tidak beroperasi akibat masalah prosedur operasi standard (SOP).

“Sebelum ini ditutup sebab tidak patuh SOP, namun apabila pihak penganjur telah memberi jaminan untuk patuh SOP maka ia dibenarkan beroperasi semula (lebih awal daripada tempoh penutupan selama 14 hari yang ditetapkan pihak berautoriti).

“Tetapi bazar tersebut masih dalam pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), untuk membolehkan ia terus dibenarkan beroperasi pihak penganjur dan orang ramai diminta terus patuhi SOP,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi.

Muhammad Khalil dan wakil KKM turun ke Bazar Tok Adis sebentar tadi bagi melihat persiapan pematuhan SOP.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerumitan itu dapat diselesaikan setelah beberapa perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diadakan.

“Malah kami dan pihak KKM turut turun meninjau perjalanan SOP yang dijalankan di sini sebentar tadi, terima kasih kepada semua pihak terutamanya KKM atas budi bicara ini. 

“Saya juga menyeru kepada semua pengunjung untuk sama-sama menjaga SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Terengganu, Jamil Mat menegaskan, penganjur harus memastikan setiap pelanggan dan peniaga mendaftar masuk mengikut laluan yang telah ditetapkan, dilarang masuk melalui laluan tepi dan sebagainya.

“Kedua, penganjur hendaklah memastikan penjarakan fizikal  satu meter antara pelanggan dipatuhi dalam bazar, ketiga setiap gerai hanya dua pengendali dibenar bertugas.

“Keempat setiap gerai hanya dibenarkan dua orang pelanggan sahaja berurusan pada satu-satu masa, kelima pelitup muka harus dipakai pengunjung dan peniaga setiap masa, yang terakhir semua harus mendaftar masuk menerusi MySejahtera atau buku nama, jadi kita minta semua untuk patuhi SOP ini,” jelasnya.


Tag: