• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Jana Pelaburan RM717 Juta Daripada Gedung Pengeluaran Makanan

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Projek Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 dijangka mampu menjana pelaburan daripada awam dan swasta berjumlah RM716.96 juta.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 18 projek baru dan sedia ada telah dikenalpasti berupaya meningkatkan pendapatan rakyat.

"Agenda utama GPMT adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan kita mensasarkan lebih ramai golongan belia berminat untuk menceburi bidang ini.

"Sememangnya, kita optimis mampu mengangkat martabat sektor pertanian di negeri ini, lebih-lebih lagi apabila kita mula mewujudkan GPMT ini, insya-Allah," ujarnya menerusi facebook rasminya, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Samsuri berkata Setiu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan mengikut potensi dan kelebihan yang dimiliki.

"Dengan kewujudan tanah-tanah yang berskala komersil dan ekosistem pertanian serta kewujudan petani-petani dan tenaga kerja sedia ada.

"Oleh itu, potensi ini perlu dimanfaatkan dan dimaksimakan bagi menjana pendapatan rakyat dan memacu pembangunan Daerah Setiu,"ujarnya.