• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Jangan Batal Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring'

KUALA NERUS, 11 Disember - Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring fasa dua perlu diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan projek yang sudah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan anggaran kos lebih RM350 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, projek tersebut akan memberi manfaat serta impak yang besar buat rakyat di Kuala Nerus kerana akan meminimakan beban yang dialami penduduk.

Ujarnya, jika tiada sebarang masalah dan kerajaan Persekutuan bersetuju bagi meneruskannya, ia akan dimulakan pada tahun hadapan.

"Setakat ini kita tidak tahu masih berada dalam senarai projek yang akan diteruskan ataupun tidak, namun mengikut apa yang diamklumkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memang telah berada dalam senarai RMK12," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di Sekolah Kebangsaan (SK) di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut Hishamuddin, projek Tebatan Banjir Tok Jiring fasa satu sebelum ini yang dibiayai oleh kerajaan negeri telah siap sepenuhnya dan kerajaan akan menerima penyerahan projek berkenaan pada bila-bila masa.

"Kesan daripada tebatan banjir fasa satu sebelum ini ia menutup laluan air di sebelah barat dan memberi kesan sebelah Padang Kemunting, Padang Hangus serta Tepoh.

"Susupan itu JPS sudah meneliti semua perkara ini dan memang perlu untuk diteruskan fasa dua bagi mengatasi masalah banjir yang dialami oleh penduduk.

"Jadi sudah tentu sekali kita mengharapkan agar diteruskan dan jangan batal," katanya.