Banjir, Hampir 10 Ribu Sukarelawan Khidmat Malaysia Kini Siap Sedia
Jangan Biarkan Pantai Tercemar
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Orang ramai diseru agar tidak membiarkan pantai yang menjadi destinasi pelancongan utama Terengganu tercemar dan menjejaskan imej negeri.
Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Abdul Fatah Hussin berharap pengunjung-pengunjung sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan pantai.
"Kebelakangan ni kalau kita tengok terlalu banyak sampah-sampah yang bertaburan dan berselerakan di atas pasir dan ditambah lagi sampah yang di bawa ombak ke pantai, ini sudah tentunya memalukan," katanya.
Abdul Fatah berkata demikian ketika ditemui selepas gotong-royong yang diadakan sepanjang pantai Batu Buruk bermula di KTCC Mall di sini pagi tadi.
Program bersepadu melibatkan jabatan-jabatan di MBKT seperti Jabatan Landskap Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kejuruteraan dan Infrastructur Awam seramai 40 anggota serta pelajar-pelajar Kolej Yayasan Terengganu.
Beliau turut menasihati pengunjung-pengunjung yang datang berkelah supaya membawa plastik sampah dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.
"Buang sampah berkenaan di tong sampah berdekatan ataupun letak satu tempat dan kontraktor sampah akan mengambilnya," jelasnya.