• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Jangan Jadikan Laut Tong Sampah'

DUNGUN, 22 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memberi peringatan kepada para nelayan di negeri ini agar tidak membuang sampah terutamanya plastik ke dalam laut kerana ia akan mendatangkan ancaman kepada kehidupan marin dan kesihatan manusia.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, mengikut kajian Lourens J,J.Meijer bersama sekumpulan penyelidik lain mendedahkan Malaysia merupakan negara ketiga daripada 20 buah negara yang paling mencemarkan lautan dengan sampah plastik selepas Filipina dan India.

"Perlu disedari plastik yang dibuang di lautan boleh terurai menjadi mikro plastik yang selepas itu akan dimakan oleh ikan, selepas itu ikan yang ditangkap itu dimakan pula oleh kita, ia akan membawa kesan jangka masa panjang kepada kesihatan.

"Penting untuk dipastikan oleh nelayan supaya tidak menjadikan laut seumpama tong sampah dengan membuang segala sampah sarap ke dalamnya, sila lupuskannya di darat bukannya di laut bagi menjaga kelestarian hidupan marin," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur Daerah Dungun, di Pengkalan Rantau Abang, di sini, semalam.

Program berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dalam pada itu Ruzaidi mengharapkan agar nelayan di negeri ini menghargai setiap usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan para nelayan serta usaha melabuhkan unjam dan tukun bagi memperkayakan sumber lautan.


Tag: