• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Pemain-pemain Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak perlu kecewa dengan pembatalan Piala AFC zon Asean yang diumumkan semalam.

Bekas pemain bola sepak Terengganu dan kebangsaan, Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-o menyifatkan, keputusan itu perlu diambil secara positif.

"Saya rasa motivasi pemain tengah tinggi walaupun Piala AFC dibatalkan kerana mereka bersaing rapat dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekarang.

"Peluang Terengganu FC masih terbuka. Ini perlu jadi motivasi pemain untuk membawa pasukan mendominasi Liga Super Malaysia tahun ini dengan baki saingan yang ada," katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Jelasnya, Terengganu FC merupakan antara pasukan yang bagus dalam persediaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berbanding pasukan-pasukan yang bertapak di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Saya akui, sememangnya bermain di AFC peluang yang terbaik untuk pasukan. Dalam saingan ini, kita tidak perlu letakkan target yang tinggi dahulu, paling penting terpilih melayakkan diri di AFC menjadi satu bonus kerana kita bertemu pasukan besar lain sekaligus berpeluang meningkatkan pengalaman untuk pemain lebih cemerlang di liga," katanya.

Hairuddin yang memulakan kariernya bersama Terengganu pada 1999 kini bergelar usahawan produk makanan.

Terbaru, Hai-o mengeluarkan produk Sambal Bilis Petai melalui jenama Duo Botak dan sebanyak 80,000 ribu botol telah berjaya dijual sejak dilancarkan April lalu.

 

 

 


Tag: