• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jangan Pandang Hina Pesakit COVID-19

KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Orang ramai dirayu agar tidak menimbulkan persepsi negatif dan menghina pesakit yang didapati positif wabak Covid-19.

Salah seorang daripada golongan tersebut, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, pesakit wabak Covid-19 adalah mangsa dan mereka tidak meminta untuk dijangkiti.

“Jangan pandang hina dengan mana-mana pesakit Covid-19, sebaliknya berilah sokongan moral kepada golongan seperti kami melalui pelbagai saluran supaya mereka terus kuat dan tidak berasa tersisih.

“Sokongan paling utama adalah daripada keluarga, majikan dan rakan yang dikenali. Pastinya setiap kata-kata akan menjadi pendorong untuk terus melawan Covid-19,” katanya yang juga penceramah bebas.

Ustaz Wan Ahmad Zuki yang disahkan Positif Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada 16 Januari lalu kini masih dirawat di Pusat Kuarantin, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Katanya dalam siaran langsung secara atas talian bersama TV Darul Iman semalam, sebaik mengetahui keputusan ujian saringan Covid-19 miliknya positif, badan beliau secara tiba-tiba berasa gementar.

“Padahal sebelum keputusan ujian itu, tiada langsung tanda atau gejala-gejala adanya Covid-19.

“Pada waktu yang sama, tiada apa yang diingatkan hanya isteri dan anak-anak, tertanya-tanya bagaimanakah nasib mereka,” jelasnya.

Menurut beliau, sepanjang berada di pusat kuarantin, para pesakit mesti berjiwa kental, kuat semangat dan pada masa yang sama perlu sentiasa melakukan amal ibadat.

“Ketika inilah, sokongan daripada insan rapat, majikan dan rakan-rakan cukup penting dan menjadi antara faktor seseorang itu, termasuk saya menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk sembuh,“ katanya.

Ustaz Wan Ahmad Zuki turut memberitahu, beliau sebagai pesakit Covid-19 sangat besetuju dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan yang menyarankan rakyat di negara ini mendapat suntikan vaksin.

“Dengan cara itu sahaja, kemungkinan Covid-19 dapat dielakkan. Oleh itu, saya berharap bersama-samalah kita membantu kerajaan memutuskan penularan Covid-19 yang masih tiada penghujungnya,” tambahnya.

 


Tag: