• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak

KUALA TERENGGANU, 19 September - Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain.

"Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja yang berkenaan agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu. 

"Hari ini Penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori dengan dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV.

"Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu,  Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

Sehubungan dengan itu ujarnya, larangan keras  diambil tersebut perlu  pihak diambil perhatian oleh semua pihak.

"Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat  juga perlu mendapat kebenaran JPV," tambah beliau.