• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jangkitan COVID-19 Di Terengganu Masih Belum Stabil

KUALA TERENGGANU, 1 November – Walaupun trend kes harian COVID-19 di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan Oktober, namun ia masih belum stabil dan memerlukan peranan masyarakat bagi mengharungi fasa endemik.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, Yusri Yusof berkata, penularan virus dalam negeri sehingga 31 Oktober masih berada dalam tiga angka iaitu 276 dan ia belum pulih sepenuhnya.

“Situasi ini adalah mustahak bagi kita sebagai komuniti dalam negeri dan negara untuk sama-sama bekerjasama dalam mengurangkan jangkitan kepada satu angka sekurang-kurangnya.

“Peralihan kepada fasa endemi adalah satu pencapaian baik, namun ia perlu disertai dengan kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Khususnya dalam pembudayaan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP), ia perlu diteruskan sepertimana mengikut slogan ‘kita jaga kita,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Katanya lagi, beliau menekankan kepentingan pendidikan pada peringkat keluarga, organisasi dan seterusnya terutamanya mengenai 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan pengamalan 3W (Wash, Wear dan Warn).

“Sementara itu, penularan COVID-19 di Terengganu adalah daripada luar negeri, bukan dari dalam.

“Oleh itu, saya menasihati kepada sesiapa yang ingin memasuki negeri agar menjalani saringan kendiri COVID-19 supaya orang tersayang tidak dijangkiti,” jelasnya lagi.

Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Terengganu mencatatkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 68,822 kes dengan jumlah kumulatif kematian sejumlah 449 kes.