• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

‘Janji Manis’ Kerajaan Lama Dikota Kerajaan Baharu

MARANG, 23 Julai - ‘Janji manis’ kerajaan lama untuk memberikan tanah kepada penduduk kampung akhirnya dikota kerajaan baharu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Petani, Mohd Bakhtimi Mohd Ali, 56, berkata sebelum ini dia pernah dijanjikan untuk diberi tanah bagi tujuan pembinaan rumah.

“Dua minggu sebelum hari membuang undi ketika zaman BN dulu ada dibuat majlis mengundi lot tanah namun selepas itu akhirnya diam seribu bahasa,” katanya pada majlis kesyukuran sempena pembinaan rumah baharunya di Bukit Perpat semalam.

Menurut Mohd Bakhtimi, impiannya untuk memiliki tanah akhirnya ditunaikan kerajaan PAS pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, pentadbiran lama hanya berjanji, namun janji itu dikotakan kerajaan sekarang.

“Hasilnya di atas tanah pemberian kerajaan ini, saya berjaya membina rumah untuk didiami enam anak dan isteri yang bekerja membuat kuih.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terlibat, boleh tinggal di rumah sendiri selepas 16 tahun menyewa,” jelasnya. 

Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong yang bertanggungjawab dalam urusan pemberian tanah itu berkata, beliau hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Saya rasa gembira di atas keberjayaannya untuk buat rumah sendiri, semoga dengan rumah baru yang berjaya dibina di atas tanah ini keluarga Mohd Bakhtimi boleh hidup dengan lebih selesa,” katanya.


Tag: