• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JaPen Bakal Sambut Bulan Kemerdekaan Bersama Kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu akan mengadakan kolaborasi dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program kibar jalur gemilang di masa akan datang.

Pengarahnya, Sait Yaman berkata, jabatan itu berhasrat untuk mengadakan program bersama dengan kerajaan negeri serta semua pihak bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan dan perpaduan di kalangan rakyat negeri Terengganu.

“Sepatutnya keghairahan orang ramai mengibarkan jalur gemilang seperti kibar bendera parti politik dalam pilihan raya bagi memeriahkan bulan sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos kali 66 tahun ini, namun ianya tidak berlaku sedemikian rupa,” katanya di Majlis Perasmian Langkah Madani Sempena Pelancaran Bulan Kemerdekaan Kibar Jalur Gemilang di Perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri (KPN), Datuk Mazli Mazlan dan Pengarah-pengarah serta kakitangan Jabatan-jabatan di Wisma Persekutuan dan pemimpin komuniti setempat.

Seramai 300 peserta diketuai oleh Datuk Mazli berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah, sejauh 5.1 kilometer bermula dari perkarangan Wisma Persekutuan menuju Bulatan Batu Bersurat, Dataran Batu Buruk, Simpang Lampu Isyarat TD1303 dan kembali semula ke perkarangan Wisma Persekutuan.

Sementara itu, KPN itu ketika merasmikan majlis tersebut berkata program berkenaan disifatkan sebagai serampang dua mata termasuk untuk kecergasan dan menghidupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Justeru tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau aktiviti sambutan itu agar perpaduan dan keamanan terjamin tanpa diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.

 


Tag: