Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
BESUT, 24 September - Jasad seorang lelaki lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik sewaktu mengail udang di Sungai Kampung Tok Gong, Kuala Besut berjaya ditemukan pada pagi tadi.
Mayat Muhammad Hussin Jusoh, 46, dari Kampung Telaga Papan, Semerak ditemui pada jam 7.45 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Penolong Penguasa Bomba Daerah Besut, Mohd Tarmimi Musa, anggota Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) telah membuat rondaan pada jam 7 pagi di sekitar tempat mangsa dipercayai jatuh.
Katanya, mangsa kemudiannya telah dijumpai pada jarak 250 meter dari lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta merta selepas pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mayat dan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk pengecaman bersama pihak waris. \
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Besut bagi tujuan post mortem," ujarnya
Tambah Mohd Tarmimi dalam kejadian pada 23 September jam 2 pagi, Hussin memancing udang bersama seorang lagi rakannya di sungai terbabit.
Namun begitu jelasnya, berlaku air pasang, bot fiber yang dinaiki mereka berdua dibawa arus lalu terbalik di bawah jambatan sungai Tok Gong.
"Rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berpaut di ranting pokok berhampiran jambatan, walau bagaimanapun mangsa gagal menyelamatkn diri," jelasnya.