• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JBPM Bantu Petugas KKM Dalam Pengebumian 151 Jenazah Pesakit COVID-19

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat secara langsung dalam pengebumian jenazah pesakit COVID-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, sehingga kini pihaknya telah membantu menguruskan 151 pengebumian daripada 178 kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sehingga Ahad.

Beliau berkata, JBPM akan terus memberikan sokongan dan khidmat terbaik membantu para petugas Kementerian Kesihatan sepanjang wabak pandemik ini

Katanya, pihak JPBM telah bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan di semua daerah bagi melaksanakan tugas-tugas khas membantu menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di negeri ini.

"Selain tugas hakiki jabatan bomba seperti memadam kebakaran dan kemalangan, urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid -19 turut menjadi salah satu tanggungjawab sosial agensi kepada masyarakat.

"Bagi tujuan itu, seramai 10 anggota ditugaskan bagi mengurus pengebumian, manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic)," katanya kepada pemberita.

Md Hilman berkata, risiko yang dihadapi cuba dielakkan dengan mengikuti secara ketat garis panduan pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19 kerana mereka turut berdepan dengan risiko jangkitan wabak itu sepanjang menjalankan tugas," katanya,

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, seramai 203 anggotanya menjalani kuarantin akibat wabak itu di mana 107 daripadanya telah disahkan positif.