• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JBPM Guna Dron Pantau Kawasan Terjejas Banjir

DUNGUN, 31 Disember - Empat unit dron berteknologi tinggi diterbangkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memantau bencana banjir di seluruh negeri, bermula hari ini.

Pengarahnya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, penggunaan dron membolehkan pihaknya membuat penilaian tahap risiko lokasi yang terjejas dengan sebaik mungkin.

Katanya, teknologi berkenaan memudahkan urusan bomba mengenal pasti kawasan yang berisiko dinaiki air di samping membantu mendapatkan maklumat berkaitan banjir.

"Dua daripada dron berkenaan dimiliki JBPM negeri dan Akademi Bomba Wakaf Tapai manakala bakinya dipinjam daripada JBPM Melaka dan Kedah.

“Dron ini mampu meninjau di sekitar radius 10 kilometer dan dapat merakam imej pada waktu malam sekali gus membantu pasukan penyelamat melakukan operasi pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika memantau situasi banjir di Dungun, hari ini.

Mohd Hilman juga berkata, penggunaan dron tersebut akan  memudahkan pergerakan pasukan penyelamat  melalui maklumat yang dikumpul hasil pemantauan yang dilakukan oleh unit berkenaan.

Tambah beliau,  penggunaan dron akan digerakkan ke kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir mengikut keperluan semasa. Foto ihsan - JBPM Terengganu.