• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jejak Veteran Melalui Kayuhan Hari Malaysia

HULU TERENGGANU, 16 September- Program berbasikal sempena sambutan Hari Malaysia berlangsung dengan penyertaan kira-kira 60 peserta di Dewan Undangan Negeri (DUN)Ajil.

ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata pihaknya mengajak komuniti enam buah kampung untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan ini termasuk aktiviti ziarah veteran anggota keselamatan yang uzur.

“Objektif utama program kayuhan ini untuk membangkitkan semangat cintakan negara terutama golongan remaja dan mengenal mereka yang pernah berjuang sehingga ada yang cedera parah semasa bertugas.

“Ia juga dapat mengeratkan hubungan masyarakat serta mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda, selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas,” katanya.

Kayuhan seawal jam 7.30 pagi itu singgah di lima buah rumah veteran Angkatan Tentera dan Polis berakhir di Dataran Felda Bukit Bading.

Perjalanan kayuhan sejauh 12 kilometer jarak perjalanan yang memakan masa kira kira dua jam dari Dataran Masjid Durian Kassim berakhir di Dataran Felda Bukit Bading.

Sementara itu, Pesara Polis, Lokman Deraman, 61, berkata selain memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia, penganjuran acara berbasikal itu diharap dapat memberi keinsafan kepada masyarakat supaya mengenang cabaran anggota keselamatan dalam menjaga bumi berdaulat ini sehingga ada yang terkorban.

“Tidak ramai golongan remaja meraikan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya berharap kayuhan ini secara tidak langsung menyuntik kembali semangat mereka dalam meluahkan semangat cintakan negara dan memahami erti kemerdekaan sebenar,” katanya.