• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jejambat Bukit Tumbuh Lancarkan Lalu Lintas

Ahmad Razif ketika merasmikan Majlis Pelepasan Trafik Jejambat Di Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Dakwaan pembangkang  yang  menyatakan pembinaan jejambat Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu yang beroperasi 21 Disember lalu merupakan satu pembaziran adalah tidak benar sama sekali berikutan kini menjadi pilihan utama penduduk setempat untuk berulang alik ke Pusat Bandar Kuala Terengganu.

Berbanding sebelum ini, mereka yang tinggal berdekatan kawasan itu terutama  Tepoh , Teluk Pasu dan  Batu Enam lebih gemar memilih laluan Kampung Jeram, Teluk Pasu dan Losong untuk ke tempat sama.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam; Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Rosli Othman berkata,  pengguna mengakui  pembinaan persimpangan  bertingkat sepanjang 350 meter itu adalah bertepatan dengan kehendak rakyat.

Katanya, sebelum ini rata-rata pengguna terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas hampir sejam untuk berulang alik ke tempat kerja di pusat bandar.

Menurutnya lagi, sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, keadaan itu bertambah teruk kadang kala sesak hampir dua jam.

“Menyedari keadaan itu, kerajaan mengambil pendekatan membina persimpangan membabitkan peruntukan hampir RM25 juta,” katanya.

Projek mula dibina sejak November 2015  dan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu dibuka kepada pengguna mulai  21 Desember lalu.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri turut merancang membina laluan bertingkat di Bandaraya Kuala Terengganu bagi mengatasi kesesakan dengan kos dianggarkan bernilai RM500 juta.

Katanya, cadangan membina laluan berkenaan sudah dimajukan kepada kerajaan pusat.

"Laluan bertingkat itu akan dibina bermula dari persimpangan lampu isyarat Batu Buruk ke Jalan Sultan Muhammad dan pembinaannya kelak dapat menyuraikan kesesakan di Jalan Sultan Mahmud yang menjadi jalan utama untuk masuk ke Bandaraya Kuala Terengganu.

"Selain itu, kerajaan negeri sedang membuat persediaan menaik taraf laluan empat lorong di Jalan di Durian Burung, Teluk Pasu, Batu Enam, Tepoh ke susur Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.

Tag: