• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jelajah ANMS Bawa Masyarakat Hidup Sihat

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia (ANMS) Sihat Peringkat Negeri Terengganu mendapat sambutan baik oleh rakyat di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata program yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 Ogos itu mengajak rakyat membudayakan amalan cara hidup sihat.

Katanya, dengan membimbing dari sudut kawalan kesihatan kendiri serta menyediakan persekitaran sihat yang menyokong ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan secara holistik.

“Melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kepada amalan cara hidup sihat.

“Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah ANMS Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Dataran Shahbandar di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Tambah Bijaya Raja, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari aktiviti berlangsung seperti sembang santai ANMS, ANMS Fun Ride Drawbridge Tour dan banyak lagi.

Tambahnya, ANMS yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 merupakan tawaran baharu atau new deal kerajaan yang bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera.

“Pendekatan Whole of Nation iaitu penglibatan secara menyeluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta serta rakyat adalah penting bagi memastikan agenda ini dilaksanakan secara komprehensif.

“Sepanjang tempoh dua tahun ini, sebanyak 25 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta telah dilantik sebagai rakan strategik ANMS Negeri Terengganu.

“Program Townhall Libat Urus ANMS, Jelajah ANMS Peringkat Daerah dan Bengkel Technical Working Group ANMS bersama Rakan Strategik telah dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan pelaksanaan program ANMS di negeri ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata, lima Sambutan Hari-Hari Khas Kesihatan Peringkat Negeri Terengganu iaitu Hari Kesihatan Sedunia, Hari Tanpa Tembakau, Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia, Minggu Imunisasi Sedunia dan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian juga diadakan bersekali dengan Program Jelajah ANMS Negeri Terengganu.

“Sambutan ini bertepatan dengan empat teras utama ANMS iaitu mempromosikan budaya hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasa kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran.

“Program tersebut telah menjadikan kesihatan sebagai satu keutamaan dengan memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelaksanaan ANMS di negeri Terengganu.

“Besarlah harapan saya agar kerjasama yang padu dan akrab ini akan dapat diteruskan demi memastikan pelaksanaan ANMS ini dapat dijayakan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

“Akhir kata, syabas dan tahniah kepada semua Jawatankuasa Pelaksana Program Jelajah ANMS Negeri Terengganu yang terlibat dalam menjayakan sambutan jelajah pada kali ini,” ujarnya.

 


Tag: