• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Jelajah Setiap Daerah, Perkenal Taman Negeri

SETIU, 16 Mac - Jelajah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu ke semua lapan daerah menerusi Program Kembara Kenali Taman Negeri Terengganu bertujuan mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri ini.

Pengarahnya, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, konvoi motosikal yang disertai oleh 40 penunggang itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan eko pelancongan negeri. 

Katanya, dua taman negeri di Terengganu iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri.

“Fokus kami (Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu) adalah untuk melindungi alam semula jadi terutamanya di Setiu Wetlands dan Tasik Kenyir kerana banyak memberi manfaat kepada generasi kini dan masa akan datang.

“Diharapkan agar program Kenali Taman Negeri ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai kewujudan Taman Negeri Terengganu kepada orang ramai menerusi edaran risalah dan penerangan tentang taman negeri tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran ‘Signage’ Route 3684 Setiu Wetlands sempena program kembara tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Setiu Wetlands, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran program selama dua hari yang bermula semalam itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu yang bersama-sama dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti.

Katanya, memandangkan dunia masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).