• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Jelajah Untukmu Wanita : Jadikan Satu Budaya Tak Lari Dari Syariat

DUNGUN, 22 Februari - Generasi kaum hawa pada hari ini disarankan agar mencari ilmu dan menjadikan ia sebagai satu budaya harian.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ilmu pengetahuan penting dalam membina jati diri golongan itu agar terus segar, semarak dan rancak.

"Pelaksanaan program Jelajah Untukmu Wanita diharapkan dapat membentuk dan mendidik jiwa wanita dan masyarakat di Terengganu dengan cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT.

"Ini juga bertujuan melahirkan generasi wanita yang mendekatan diri kepada Allah SWT secara seimbang dan berterusan dalam konteks dunia dan akhirat," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas program Suara Hati Wanita yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam.

Katanya lagi, program tahunan yang diadakan kali ketiga itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada kaum wanita dan masyarakat.

"Wanita itu tiang negara, apabila baik wanitanya maka baiklah sesebuah negara. Begitulah besarnya kepentingan wanita dalam pembinaan generasi masyarakat yang bertamadun.

"Kesedaran betapa pentingnya mendidik wanita ini menatijahkan program ini membawakan ikon pendakwah wanita yang sangat dekat kepada masyarakat iaitu Ustazah Datuk Nor Hafizah Musa," ujar beliau.

 Justeru itu, beliau berharap program kali ini dapat mempersiapkan wanita dengan ilmu agama, kerohanian, pengurusan emosi dan diri yang baik sehingga dapat melahirkan generasi wanita Terengganu yang maju berkat dan sejahtera.

"Membimbing wanita menjalani kehidupan yang seimbang dunia dan akhirat.

'Mendidik wanita menjadi lebih kuat dan berani mendepani cabaran mendatang," tambah Sakinah lagi.