Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
DUNGUN, 2 Julai - Ratusan jemaah membanjiri Masjid Taman Hadhari, Paka sempena Kuliah Dhuha istimewa bersama pendakwah tersohor Nusantara, Ustaz Abdul Somad (UAS), yang singgah ke bumi Terengganu dalam rangka siri jelajah dakwahnya baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat melahirkan rasa syukur dan kagumnya atas sambutan luar biasa dari masyarakat setempat terhadap kuliah tersebut.
"Alhamdulillah pagi ini Paka dibanjiri dengan limpahan jemaah.
"Kehadiran Ustaz Abdul Somad bukan sahaja menggamit ramai orang, bahkan membuka hati-hati kita untuk kembali menghayati erti kehidupan beragama dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kuliah Dhuha Khas Ustaz Abdul Somad di Masjid Taman Hadhari Paka.
Menurutnya lagi, majlis ilmu sebegini bukan sekadar medan untuk mendengar ceramah, tetapi adalah suntikan semangat bagi umat Islam agar terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Cahaya ilmu itu penyembuh hati umat. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, tazkirah seperti ini amat diperlukan agar kita tidak hanyut dalam arus duniawi.
“Terima kasih kepada Ustaz Abdul Somad kerana sudi singgah dan menyirami bumi Paka dengan cahaya ilmu.
Moga Allah panjangkan usia dan keberkatan untuk beliau agar terus menyebar dakwah dan cahaya Islam ke serata pelusuk dunia,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, jawatankuasa penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk para petugas Jabatan Amal Paka dan Keselamatan yang memastikan kelancaran majlis.