• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jenayah di Terengganu Berkurang

KUALA TERENGGANU, 3 Mei- Kadar jenayah indeks di negeri Terengganu bagi tahun 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 17.75 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bekas Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa memaklumkan, penurunan tersebut direkodkan seiring peratus penyelesaian sebanyak 72 peratus.

"Bagi jenayah kekerasan, terdapat sedikit peningkatan sebanyak tiga kes dengan iaitu sebanyak 4.9 peratus namun kejayaan kita menyelesaikan kes juga agak tinggi iaitu sebanyak 98.4 peratus. Jenayah harta benda pula menurun sebanyak 21.63 peratus.

"Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu juga telah mencapai banyak kejayaan di dalam memerangi najis dadah yang merosakkan Negara" jelas beliau dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Polis Terengganu pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Tambahnya, sepanjang tahun 2023 JSJN telah berjaya menangkap seramai 11,087 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik, meningkat sebanyak 120 kes berbanding tangkapan seramai 10,967 orang bagi tahun 2022.

"Manakala sebanyak 7 kes dibawah seksyen 39(B) berjaya dilaksanakan oleh JSJN Terengganu sepanjang saya bertugas sebagai Timbalan serta Ketua Polis Terengganu," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Rohaimi menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Terengganu baharu, berkuatkuasa hari ini.

Mazli menandatangani dan menerima penyerahan dokumen serah terima tugas selaku Ketua Polis Terengganu yang ke-31 menggantikan Rohaimi yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dengan disaksikan Pengarah Logistik dan Teknologi PDRM, Dato'Seri Sahabudin Abd Manan.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Azizah Malisa Ramli dengan Datin Nur Izzati Dato' Shafii sebagai Pengerusi PERKEP Terengganu baharu.

Penyerahan tugas itu disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM Bukit Aman, Datin Seri Nor Aidila Abdul Majid.

 

 


Tag: