• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Jentera BN Jangan Leka - Hishammuddin

Foto oleh Hasmizi Hamid

Jentera Barisan Nasional  (BN) Terengganu diingatkan supaya tidak berada dalam zon yang selesa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua pihak termasuk parti komponen perlu bersatu dan bekerja kuat bagi memastikan BN terus diberi mandat untuk mentadbir negara.

"Jangan melihat keadaan sekarang sebagai satu keadaan yang selesa dan ini adalah masa yang terbaik untuk kumpulkan kekuatan walaupun saya mengakui bahawa kita berada dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada zaman terdahulu.

"Kita perlu sokongan daripada semua pihak dan yang penting rakyat..kalau mereka menerima calon.. maka menanglah BN.

"Undi yang menentukan jatuh bangunnya BN adalah ahli kita maka dalaman perlu diperbetulkan dan elakkan 'rakan-rakannya' berperang secara bersendirian sebagaimana pembangkang...dan kita keluar dengan semangat baru dengan mengetepikan kepentingan peribadi masing-masing,"katanya.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen BN Terengganu di Hotel Primula, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Negeri yang jiga Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Seri Jailani Johari, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Hishammuddin juga berkata, perjuangan UMNO dan BN Terengganu jelas menunjukkan wajah sebenar Islam justeru, jangan sesekali membiarkan emosi kemarahan, kebencian dan kepentingan peribadi menjejaskan agenda kelangsungan tersebut.

"Marilah bersama-sama apabila kita keluar dari dewan ini dengan semangat yang baru, dengan nafas yang baru, dengan perpaduan yang baru, semangat kemenangan yang akan dibawa balik bersama untuk digerakkan untuk pastikan mandat kemenangan milik BN ," katanya lagi.

Seramai 1,100 orang ahli serta kepemimpinan parti-parti komponen BN berhimpun sempena konvensyen selama dua hari bermula hari ini, bagi mengukuhkan komitmen dalam gerak bersama seluruh jentera menjelang PRU14 nanti.



Tag: