• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal

KUALA TERENGGANU, 7 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menyiasat dan memantau aktiviti pihak tertentu yang disyaki menyebarkan fahaman liberal di negeri ini.
 
Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad menegaskan bahawa pihaknya mengenalpasti satu kes di Terengganu berkaitan dengan penyebaran fahaman tersebut.
 
"Kita menyiasat kes seperti berikut dengan kerjasama dan kepakaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya ia dapat ditangani dengan segera.
 
"Maklumat diperoleh melalui siasatan tertentu mendapati taktik golongan ini lebih cerdik dan licik dalam menggunakan kitab-kitab berkaitan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tidak memaparkan fahaman batiniyah.
 
“Mereka turut mengelak siasatan dengan tidak hadir program yang dianjurkan, kerjasama JHEAT bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengawasi ancaman serius ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil kerjasama dengan penyelidikan JAKIM pihaknya berjaya membongkar maklumat tentang penyebar atau 'tenaga pengajar' fahaman tersebut di Terengganu.
 
"Kita turut mengawasi penularan liberal di media sosial," jelasnya.
 
Susulan itu, Mat Azmi memaklumkan, langkah pendidikan terhadap masyarakat untuk mengatasi masalah penyebaran fahaman liberal di Terengganu secara bersepadu akan dilakukan.
 
“Dengan Kerjasama JAKIM, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Institut Pengajian Tinggi, kita merancang satu garis panduan sebagai langkah pendidikan masyarakat setempat tentang isu fahaman liberal.
 
“Pendekatan pendidikan bagi pelajar-pelajar turut dirancang sebagai latihan menghadapi masyarakat. Buat masa sekarang modul tersebut sedang dalam proses kertas konsep dan akan dilaksanakan di sekolah-sekolah negeri," tambah beliau.
 

Tag: