Jalur Gemilang
Berita :
Lata Tembakah Kembali Meriah Selepas Hampir Dua Tahun Ditutup
Lata Tembakah Kembali Meriah Selepas Hampir Dua Tahun Ditutup
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
74

BESUT, 20 September – Selepas hampir dua tahun sepi tanpa kunjungan, Taman Eko Rimba (TER) Lata Tembakah kembali menjadi tumpuan apabila dibuka semula kepada orang ramai sejak 5 September lalu.

Terletak di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, kawasan rekreasi itu ditutup sejak 1 November 2024 bagi memberi laluan kepada kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan, termasuk membaiki infrastruktur yang rosak akibat Monsun Timur Laut.

Penyelia TER Lata Tembakah, Wan Mohd Hanif Wan Ramli berkata, antara kemudahan yang dibaiki termasuk jambatan gantung serta beberapa bahagian resort yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Sepanjang tempoh penutupan, kerja membaik pulih giat dijalankan dan kini kawasan ini sudah bersedia untuk menerima kunjungan orang ramai.

“Sebanyak lapan chalet dilengkapi kemudahan kipas, dua chalet berhawa dingin, tiga asrama berhawa dingin serta dua bilik VIP disediakan untuk disewa,” katanya.

Menurutnya, kadar bayaran masuk yang dikenakan juga amat berpatutan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan.

“Bayaran masuk bagi kanak-kanak hanya RM1 manakala dewasa RM2, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Tarikan terbaharu ialah pembukaan santuari ikan kelah, namun ia akan ditutup semula bermula 1 November ini hingga Mac 2027 sepanjang musim tengkujuh,” katanya lagi.

Wan Mohd Hanif berkata, meskipun belum sebulan dibuka semula, TER Lata Tembakah sudah menerima kunjungan ramai termasuk penduduk dari Terengganu dan Kelantan, malah ada pengunjung yang datang dari Shah Alam.

Sementara itu, pengunjung dari Kubang Kerian, Kelantan, Nurul Najihah Abdu Khadir, 30, berkata, dia membawa tujuh ahli keluarganya berkunjung ke lokasi berkenaan selepas mengetahui mengenai pembukaan semulanya melalui hebahan radio.

“Dulu sebelum kawasan ini ditutup, kami memang kerap berkelah di sini bersama keluarga setiap kali pulang ke kampung.

“Selepas dibuka semula, memang banyak perubahan dapat dilihat terutama jambatan gantung yang kini lebih luas dan kukuh untuk dilalui,” katanya.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi yang terdapat di Lata Tembakah menjadikannya lokasi sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

“Tempat ini memang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan sangat sesuai untuk dijadikan lokasi riadah untuk seisi keluarga,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan